Haji mabrur, syurga menanti

Iklan
BERDOALAH agar kita tergolong dalam kalangan dhuyufurrahman yang dijemput menjadi tetamu-NYA suatu hari nanti. -Foto: CANVA

Ganjaran luar biasa menanti jemaah yang ikhlas, patuh syarat dan sempurna ibadah menurut tuntutan syarak

MENUNAIKAN ibadah haji menjadi dambaan setiap umat Islam kerana padanya tersimpan ganjaran luar biasa dan fadilat yang bukan calang-calang.

Bahkan, mereka yang sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci juga adakalanya diasak kerinduan yang mendalam untuk kembali menjadi tetamu ALLAH SWT di bumi Haramain.

Iklan
Iklan

Sesungguhnya, haji bukan sekadar perjalanan jasmani, tetapi juga kembara rohani yang menyucikan jiwa, membakar dosa dan mendekatkan hamba kepada Sang Pencipta.

Ia sebagaimana disebutkan menerusi sabda Rasulullah SAW: "Umrah kepada umrah adalah penghapus dosa di antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya kecuali syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Iklan

JIKA seseorang berada di Tanah Suci untuk beribadah dengan ikhlas dan penuh keimanan, ALLAH SWT membuka baginya pintu pengampunan dosa serta anugerah reda-NYA. -Foto: CANVA

Lebih indah lagi apabila Nabi Muhammad SAW menyifatkan jemaah haji dan umrah sebagai tetamu ALLAH yang doanya mustajab serta diampuni dosanya, menerusi hadis riwayat Imam Ibnu Majah.

Iklan

Bayangkan saat seseorang berada di Tanah Suci untuk beribadah dengan ikhlas dan penuh keimanan, ALLAH SWT membuka baginya pintu pengampunan dosa serta anugerah reda-NYA.

Menurut teks khutbah itu, haji adalah Rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi mereka yang mampu.

ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

"Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali ‘Imran: 97)

Rindu kunjungi rumah ALLAH

Menurut teks itu lagi, setiap hati dan jiwa umat Islam pasti merindui untuk mengunjungi rumah ALLAH.

Bagi mereka yang telah melaksanakannya dengan ikhlas dan jayanya, pasti akan merindui pemergian untuk kali seterusnya.

JEMAAH haji disarankan menyemak jadual penerbangan dengan teliti dan mematuhi tarikh serta waktu lapor diri yang telah ditetapkan. -Foto: CANVA

Menerusi teks khutbah bertajuk Lambaian Haji Menggamit Kerinduan yang dikeluarkan oleh JHEAT, sebagai persiapan untuk menjadi tetamu ALLAH, ia tidak cukup sekadar menumpukan kepada aspek fizikal dan logistik semata-mata.

JHEAT mengigatkan agar jemaah akan turut menitikberatkan soal pematuhan jadual dan peraturan sepanjang beribadah.

Justeru, para jemaah disarankan menyemak jadual penerbangan dengan teliti dan mematuhi tarikh serta waktu lapor diri yang telah ditetapkan.

Di samping itu, jagalah kesihatan sebelum, semasa dan selepas ibadah haji. Pada masa sama, para jemaah diingatkan agar menghormati segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Teks itu turut mengingatkan agar jemaah menggunakan peluang yang ada di sana dengan memperbanyakkan amal ibadah.

Dalam pada itu, JHEAT turut menyeru seluruh umat Islam agar melengkapkan diri dengan ilmu agama sebelum menunaikan haji atau umrah.

Andai tiada ilmu dalam dada, sesuatu amalan boleh jadi sia-sia jika tidak menepati syarat dan kaedah yang betul.

HAJI mabrur merupakan kemuncak ganjaran ibadah yang dijanjikan dengan syurga bagi mereka yang menunaikannya dengan penuh ketakwaan. -Foto: CANVA

Ilmu bagi menunaikan sesuatu ibadah termasuk ibadah haji dan umrah adalah kewajipan yang dituntut kepada semua umat Islam.

Pasang niat dari awal

Bagi mereka yang belum berkesempatan menunaikan haji, JHEAT menyeru supaya umat Islam memasang niat dan tekad yang kuat sejak awal, khususnya ketika usia masih muda dan tubuh badan masih bertenaga.

Pada masa sama, mereka digalakkan mendaftar dan membuat tabungan di Lembaga Tabung Haji sebagai langkah awal persiapan.

SEMUA umat Islam diingatkan agar melengkapkan diri dengan ilmu agama sebelum menunaikan haji atau umrah keranasesuatu amalan boleh jadi sia-sia jika tidak menepati syarat dan kaedah yang betul. -Foto: CANVA

Selain itu, hadirlah kursus-kursus haji yang diadakan setiap tahun dan menjaga kesihatan fizikal serta mental.

Mengakhiri khutbah, JHEAT berharap agar para jemaah diberi kemudahan sepanjang ibadah dan memperoleh haji yang mabrur.

Sementara itu, buat mereka yang masih belum direzekikan untuk ke Tanah Suci, berdoalah agar terpilih untuk diberi peluang menjadi dhuyufurrahman pada tahun akan datang.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan dhuyufurrahman yang dijemput menjadi tetamu-NYA suatu hari nanti.

*Teks khutbah Jumaat disediakan oleh

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan disiarkan melalui laman web jabatan berkenaan

OSZAR »