Malaysia perkenal Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, perkukuh kerjasama tiga hala

Iklan
Malaysia memperkenalkan inisiatif baharu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dalam usaha memperkukuh kerjasama tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

SHAH ALAM – Malaysia memperkenalkan inisiatif baharu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dalam usaha memperkukuh kerjasama tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata, inisiatif itu merupakan antara tumpuan utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Iklan
Iklan

"ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak ASD3.8 trilion (RM17.9 trilion), manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala mencecah ASD696.7 bilion (RM3.27 trilion).

"Sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan pendigitalan rantau,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Facebook, pada Isnin.

Iklan

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang bermula pada Isnin menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.

Dianjurkan di bawah kepengerusian Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang kemuncak tahun ini menyaksikan penyertaan ketua-ketua kerajaan dari semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar dan Timor-Leste sebagai negara pemerhati.

Iklan

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

"Dengan tema berkenaan yang bukan sekadar slogan, ia mencerminkan aspirasi kita untuk menjadikan ASEAN lebih rapat dengan rakyatnya dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.

"Sidang kemuncak ini merupakan platform utama bagi pemimpin ASEAN untuk meneliti kemajuan dalam tiga tunjang utama iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya.

"Ia juga menjadi medan penting bagi membincangkan isu serantau dan global, termasuk isu Laut China Selatan; krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar; tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar; cabaran ekonomi digital serta rantaian bekalan,” ujarnya.

Menurut beliau, fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan Wawasan Jangka Panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.

Tambahnya, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua turut dijadualkan berlangsung bagi mengukuhkan komitmen jangka panjang antara kedua-dua rantau yang telah menjalin hubungan sejak tahun 1990.

"ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah ASD130.7 bilion (RM614.3 bilion), manakala pelaburan GCC ke ASEAN berjumlah ASD390.2 juta (RM1.83 bilion).

"Sidang ini akan meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan serta keterhubungan budaya dan digital,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang atur cara hari pertama sidang kemuncak, beliau memaklumkan bahawa sidang hari ini akan menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama pemimpin ASEAN dan wakil pelbagai sektor.

Antara sesi tersebut termasuk sesi plenari dan retret yang membuka ruang kepada perbincangan mendalam mengenai cabaran serantau dan agenda masa depan ASEAN; sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC); Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 dan Majlis Makan Malam Gala ASEAN.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa mesyuarat dua hala turut dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.

"Hari ini merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Kepimpinan Perdana Menteri menjadi tumpuan, bukan sahaja dalam membentuk keputusan sidang tetapi juga dalam mempamerkan iltizam terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau.

"Melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China.

"Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir ASD25 trilion (RM117.5 trilion) dan populasi lebih dua bilion, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur mampan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran sidang berskala besar ini turut memberi manfaat langsung kepada ekonomi domestik, khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan dan peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

OSZAR »