KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai aktif sebagai pengedar dadah sejak tahun lalu dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati, di sini, pada Khamis.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 12.10 pagi.
"Pihak polis turut memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire, dan kita menemukan 66 ketulan mampat ganja seberat 69.82 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM216,457.30," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mat Zani berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.
"Suspek yang berperanan sebagai tokan telah aktif sejak November tahun lalu.
"Ujian saringan awal ke atas suspek didapati negatif dadah, manakala semakan lanjut pula mendapati lelaki itu memiliki dua rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah," katanya.
Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas itu mampu merosakkan seramai 139,640 individu yang menggunakannya.
"Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil, yang mana sebuah motosikal berkuasa tinggi dianggarkan bernilai RM29,500 telah disita.
"Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Mat Zani berkata, pihaknya masih giat memburu saki-baki sindiket lain yang masih bebas.
Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah narkotik menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222, katanya.