BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura Super 750 Edisi 2025 pada Sabtu.
Juara Asia itu menundukkan gandingan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam aksi separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura.
Set pertama antara Aaron-Wooi Yik dan Satwiksairaj-Chirag bermula dengan corak permainan pantas yang menyaksikan pertukaran mata antara kedua-dua pasangan sebelum dimenangi oleh beregu nombor 27 dunia itu, 21-19.
Set kedua, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan kejohanan selepas menyingkirkan juara Malaysia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun di suku akhir tampil lebih garang untuk memburu mata penyamaan.
Satwiksairaj-Chirag yang sebelum itu menghantar pulang beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di suku akhir, gagal menyerap asakan daripada beregu nombor tiga dunia itu dan tewas 10-21.
Dalam set penentuan, Aaron-Wooi Yik yang juga juara Terbuka Thailand, terus mengasak untuk meraih kemenangan 21-18 dalam tempoh 64 minit sekali gus mencipta peluang menamatkan kemarau 17 tahun kejuaraan berkenaan.
Aaron-Wooi Yik bakal berdepan wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae, yang menewaskan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 21-17, 21-16 dalam masa 42 minit.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah berdepan pilihan kelima, Won-ho-Seung-jae, yang memenangi pertemuan sulung mereka di Terbuka India awal tahun ini.