IPOH – Perak menyasarkan pertumbuhan sektor ekonomi digital negeri sebanyak RM4.2 bilion dalam tempoh lima tahun seiring Pelan Tindakan Ekonomi Digital Neger Perak 2030 yang diperkenalkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi inklusif, lestari dan berdaya tahan.
Menurutnya, sektor ekonomi digital telah menyumbang sekitar 15 peratus atau RM12 bilion daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak yang berjumlah RM80.2 bilion pada tahun 2022.
"Menjelang 2030, kita menjangkakan sumbangan sektor ini meningkat antara RM2 bilion hingga RM4.2 bilion kepada KDNK negeri, seiring peralihan ekonomi ke arah pendigitalan.
"Ia juga dijangka mewujudkan antara 3,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan baharu serta membantu pendigitalan 18,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani berkata, dua dokumen penting itu dirangka untuk memacu pembangunan ekonomi digital dan bandar pintar secara bersepadu ke arah menjadikan Perak sebuah negeri pintar bertaraf dunia menjelang 2040.
Jelasnya, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu akses kepada infrastruktur digital berkualiti, pentadbiran awam yang cekap dan digital, ekosistem perniagaan dipacu pendigitalan serta masyarakat diperkasa pendigitalan.
"Sebanyak 21 program dikenal pasti dalam pelan ini dengan lima projek pemangkin diberi keutamaan termasuk peluasan capaian digital melalui inisiatif Jendela (Jalinan Digital Negara), pembinaan Point-of-Presence (POP) dan penggunaan satelit orbit rendah (LEO) untuk kawasan luar bandar.
"Kita juga memajukan sistem bayaran tanpa tunai dan Point-of-Sale (POS) untuk PMKS, membangunkan kluster perkhidmatan digital Global Business Services (GBS) di Ipoh serta menubuhkan pusat kecemerlangan seperti Smart Perak Research and Innovation Centre (SPRIN) dan AI Academy,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif itu turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama agensi pusat termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).
Dalam pada itu, beliau berkata, Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 pula menjadi dokumen rujukan utama bagi memastikan pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.
Katanya, blueprint tersebut merangkumi tujuh komponen utama termasuk Infrastruktur Digital Pintar, Tadbir Urus Pintar, Ekonomi Pintar, Rakyat Pintar, Alam Sekitar Pintar, Mobiliti Pintar dan Kehidupan Pintar.
"Dokumen ini mengandungi 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif dengan pelaksanaan berfasa bermula tahun ini hingga 2040. Pendekatan yang diterapkan juga bersifat people-centric, memberi keutamaan kepada keperluan dan kesejahteraan rakyat.
"saya merakamkan ucapan tahniah kepada empat pihak berkuasa tempatan yang telah berjaya mencapai status Early Adopter dalam pelaksanaan agenda bandar pintar iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Manjung, dan Majlis Daerah Kampar,” katanya.
Saarani berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksana termasuk pembangunan sistem prototaip kecerdasan buatan (AI) oleh PLANMalaysia Perak dikenali GeoSilverAi@Mr.TPr (Mr. Town Planner) bagi mempercepat dan memperkemas penyampaian maklumat perancangan bandar.