KOTA BHARU - Penyanyi popular loghat Kelantan, Eda Ezrin gembira kerana dapat melepaskan rindu terhadap dua anak perempuannya yang berusia lima dan sembilan tahun.
Bapa penyanyi berkenaan, Wan Ismail Wan Yusof, 52, memberitahu bahawa kedua-dua mereka dibawa oleh ibu penyanyi itu selepas melalui beberapa prosedur sebelum mereka bertemu.
"Eda Ezrin menangis apabila mendengar anaknya yang berusia lima tahun berkata, 'ibu jangan nangis, kena kuat semangat'," kata Wan Ismail.
Menurut Wan Ismail, cucunya akan melawat Eda Ezrin sebanyak satu atau dua kali dalam tempoh sebulan supaya dapat melepaskan rindu mereka.
Katanya lagi, cucunya seorang kanak-kanak yang bijak serta sentiasa memberi kata-kata semangat dan sabar menanti ibu mereka.
Tambah Wan Ismail, Eda Ezrin yang sudah lebih tujuh bulan berada di Penjara Wilayah Narathiwat kini kelihatan lebih kurus dan berharap dapat pulang ke rumah.
Jelas beliau, sehingga kini mereka sekeluarga belum menerima sebarang maklumat selepas dimaklumkan bahawa penahanan Eda Ezrin dilanjutkan sehingga Jun depan.
"Saya tidak pasti sama ada selepas ini kes berkenaan boleh dibawa ke Mahkamah Agung, tetapi saya berharap anak saya akan dibebaskan,” katanya.
Wan Ismail memberitahu bahawa beliau akan melawat Eda Ezrin selepas Hari Raya Aidiladha kerana sudah hampir sebulan tidak menjenguk anaknya itu.
"Bekas isteri saya sering melawatnya di sana kerana tinggal berdekatan, manakala saya berada di Malaysia.
"Insya-ALLAH saya akan membawa makanan jika dipesan oleh Eda Ezrin melalui ibunya,” katanya.