LPT3 lonjak ekonomi Pantai Timur, rundingan perlu disegerakan - Khairuddin

Iklan
Mohd Khairuddin.

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menggesa kerajaan Terengganu dan Kelantan supaya segera mengadakan rundingan bersama kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu penting untuk menghubungkan dua negeri Pantai Timur tersebut secara terus sehingga ke sempadan Thailand, sekali gus mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta memendekkan masa perjalanan.

Iklan
Iklan

"Dengan LPT1 dan LPT2, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu hanya mengambil masa sekitar empat hingga lima jam sahaja. Jika LPT3 disambung terus ke Tumpat sehingga ke sempadan Thailand, masa perjalanan hanya sekitar satu jam setengah lagi.

"Ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negeri serta meningkatkan potensi perdagangan rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, walaupun kos pembinaan LPT3 dianggarkan hampir RM10 bilion dan dijangka mencabar dari sudut daya saing, ia tetap perlu diteruskan demi kepentingan jangka panjang rakyat.

"Kerajaan boleh membuka ruang melalui mekanisme ‘Request for Proposal’ (RFP) agar syarikat-syarikat swasta yang berminat dapat menyertai proses perundingan.

Iklan

"Walaupun kadar tol dijangka sekitar RM70, ia tetap satu pelaburan jangka panjang yang mampu melonjakkan ekonomi wilayah Pantai Timur,” ujarnya.

Tambah beliau, kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya bukan sahaja menjamin kelancaran logistik dan mobiliti rakyat, malah menjadi asas penting dalam menarik pelaburan baharu dan meningkatkan peluang pekerjaan.

OSZAR »