Lepaskan ikan pendatang: Tak tahu atau buat-buat tak tahu?

Iklan
Merak Jalanan tabik kepada kumpulan NGO yang aktif menjala ikan asing di sungai air tawar negara dalam usaha memulihara ikan asli dan ekosistem akuatik. Foto Bernama

USAHA murni sebilangan pihak menyelamatkan ikan asli tempatan daripada ancaman ikan pendatang patut diberi pujian.

Mereka ibarat hero tidak didendang apabila bersusah payah menuju ke ceruk sungai bagi ‘memburu’ spesies asing seperti ikan bandaraya, patin siam dan keli Afrika.

Iklan
Iklan

Difahamkan, ikan bandaraya atau pleco yang popular dalam industri ikan hiasan merupakan spesies invasif ‘paling berjaya’ berkembang di perairan kita sehingga mengancam habitat ikan asli.

Merak Jalanan sendiri pernah melihat saiz mega bagi spesies asing ini selepas ditangkap dari dalam sungai.

Iklan

Melihat kepada kesungguhan mereka, Merak Jalanan kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang memandang enteng apabila melepaskan ikan asing di sungai tanpa merujuk Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Tahun lalu, patin siam dilepaskan untuk program memancing dalam Tasik Bandaraya Shah Alam. Terbaharu, dianggarkan sejumlah 1,300 ekor keli Afrika dengan berat 2,000 kilogram (kg) dilepaskan ke dalam Tasik MAEPS Serdang juga untuk program pertandingan memancing.

Iklan

Umum mengetahui, melepaskan spesies ikan asing ke sungai atau tasik dengan apa sekali alasan adalah tidak dibenarkan. Ikan asing bersifat pelahap ini akan mengganggu ekosistem sungai air tawar dengan memakan ikan tempatan.

Pelbagai program dan kempen kesedaran juga sudah dilakukan DOF bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Merak Jalanan tak pasti, mereka yang melepaskan ikan asing ke sungai ini tak tahu, atau sengaja buat-buat tak tahu.

Bayangkan jika tiada siapa peduli masalah ini, apa akan jadi dengan sumber ikan tempatan? Tidak mustahil akan terus lenyap pada masa akan datang.

Sebab itu Merak Jalanan tabik kepada kumpulan NGO yang aktif menjala ikan asing di sungai air tawar negara dalam usaha memulihara ikan asli dan ekosistem akuatik.

OSZAR »