SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan bahawa beliau dan suaminya, Yin Shao Loong menerima tajaan pakej haji mewah dan menaiki jet peribadi ke Tanah Suci.
Sebaliknya, anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menjelaskan bahawa mereka berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu ALLAH SWT melalui visa mujamalah.
"Urusan logistik termasuk tempat tinggal dan pengangkutan diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Kami menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
"Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Nurul Izzah memaklumkan bahawa beliau menerima banyak mesej dan hantaran berhubung fitnah berkenaan, justeru sesuatu yang tidak benar dan jauh daripada hakikat sebenar perlu diperbetulkan.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya yang sempat menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmad Tajuddin di Madinah.
Nurul Izzah menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat menyentuh hati.
"Paling bermakna, dapat melaksanakan ibadah haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana ALLAH SWT menurunkan ayat ketiga Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa agama kita telah disempurnakan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar ibadah tidak dijadikan bahan tohmahan atau fitnah, meskipun wujud perbezaan pandangan serta persaingan dalam medan politik dunia.
"Biarlah kita saling mendoakan, semoga ALLAH SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya, dalam keadaan dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” tambah beliau.
Terdahulu, Nurul Izzah turut berkongsi dua foto termasuk tempat tinggal mereka berdua yang terletak berhampiran kawasan khemah jemaah warganegara Malaysia di Mina.