SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif melaksanakan ibadah korban demi memperkukuh semangat kebersamaan dan memenuhi tuntutan agama melalui Program Ibadah Korban SPRM 1446H/2025M.
Program dilaksanakan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM dengan kerjasama Surau Ikhwanul Muslimin, Kampung Sungai Buah Luar, Dengkil pada Ahad.
SPRM dalam kenyataan berkata, program ibadah korban sempena Aidiladha itu disertai oleh pengurusan tertinggi agensi berkenaan, ahli kariah Surau Safinatun Najah Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dan ahli kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
Menurutnya, program yang bermula seawal 8 pagi itu disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Puan Sri Normah Mohd Zin.
"Program ibadah berkenaan melibatkan penyembelihan tujuh ekor lembu dengan lima daripanya oleh Pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, warga kerja SPRM, manakala selebihnya dari ahli kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
"Aktiviti korban terbabit kemudiannya diteruskan dengan gotong-royong melapah daging serta memasak bagi meraikan warga SPRM dan ahli kariah surau," katanya.
Menurut kenyataan itu, daging korban hasil sembelihan itu turut diedarkan kepada peserta, warga Ibu Pejabat SPRM Gred 1 dan juga golongan asnaf yang telah dikenalpasti oleh pihak kariah Surau Ikhwanul Muslimin.
Tambahnya, program korban berkenaan dilihat dapat memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti sambil memenuhi tuntutan agama.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi, Pengarah BCP SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.