SEOUL – Dua anggota kumpulan K-pop popular daripada BTS iaitu RM dan V menamatkan perkhidmatan wajib tentera selama 18 bulan pada Selasa, mencetuskan kegembiraan dan keterujaan dalam kalangan jutaan peminat setia mereka di seluruh dunia.
BTS yang dianggap aset muzik paling berharga Korea Selatan telah berehat sejak 2022 untuk memenuhi kewajipan perkhidmatan tentera yang diwajibkan ke atas semua lelaki Korea Selatan berumur bawah 30 tahun.
Ratusan peminat berkumpul berhampiran dua pangkalan tentera di pinggir ibu kota Seoul bagi menyambut kepulangan RM yang baru-baru ini dinobatkan sebagai 'Artis K-pop Kegemaran' di Anugerah Muzik Amerika (AMA), dan V, vokalis kumpulan tersebut.
"Sejujurnya, banyak momen yang sukar dan menyakitkan. Tapi sepanjang perkhidmatan, saya benar-benar merasai bagaimana ramai yang berkorban demi mempertahankan negara,” kata RM kepada media.
V pula berkata, tempoh perkhidmatan itu merupakan peluang untuk dirinya ‘merombak semula tubuh dan minda’.
"Saya rasa sudah bersedia sepenuhnya sekarang dan saya benar-benar mahu terus berlari kepada ARMY,” katanya merujuk kepada nama rasmi peminat BTS.
Apabila ditanya apa yang ingin mereka lakukan selepas tamat khidmat, kedua-duanya menjawab,"persembahan”.
"Apa yang paling kami mahu sekarang ialah kembali membuat persembahan. Kami sedang bekerja keras untuk album baharu agar dapat kembali ke pentas secepat mungkin," kata RM.
Keseluruhan empat ahli BTS akan menamatkan khidmat mereka minggu ini. Dua ahli telah tamat awal tahun lalu, manakala ahli terakhir, Suga yang sedang menjalani perkhidmatan sosial sebagai alternatif kepada tugas aktif, dijangka tamat pada hujung bulan ini.
Agensi BTS, HYBE sebelum ini telah mengingatkan peminat agar tidak hadir ke lokasi pelepasan demi keselamatan semua pihak.
"Demi keselamatan artis dan peminat, kami dengan tegas menasihatkan agar tidak hadir ke lokasi pelepasan secara fizikal,” tulis mereka di platform peminat, Weverse.
Namun, puluhan peminat tetap berkumpul di luar pangkalan tentera sambil menunggu kemunculan artis kegemaran mereka.
"Saya datang ke sini dengan harapan yang sangat tinggi,” kata Yang Ho-hee, 28, kepada AFP di luar pangkalan.
Peminat turut menggantung sepanduk berwarna-warni untuk menyambut kepulangan bintang berusia 29 tahun itu ke kehidupan awam. - AFP