Rasuah lebuh raya: Skuad taktikal SPRM serbu kediaman Tan Sri

Iklan
Skuad taktikal SPRM menyerbu kediaman seorang Tan Sri di Bandar Tasik Selatan berhubung siasatan penyelewengan dana sukuk projek lebuh raya Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Skuad Taktikal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai telah menyerbu kediaman seorang individu bergelar Tan Sri berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk bagi projek lebuh raya di Lembah Klang.

Empat kenderaan daripada Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) dilihat memasuki kawasan kediaman di Bandar Tasik Selatan sekitar jam 10.50 pagi, Khamis.

Iklan
Iklan

Selain itu, dua buah van putih, sebuah Nissan Grand Livina dan sebuah Honda City dipercayai milik pegawai SPRM turut dilihat memasuki kediaman individu terbabit.

Menurut pemerhatian pihak media, pegawai-pegawai ACTS yang menyertai serbuan tersebut lengkap bersenjata api sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

Iklan

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pegawai SPRM sedang meneruskan sesi soal siasat terhadap individu bergelar Tan Sri itu yang disyaki terlibat dalam kes berprofil tinggi berkaitan dana projek lebuh raya.

Sebuah Toyota Vios berwarna putih yang membawa pegawai SPRM turut dilihat memasuki kawasan kediaman sekitar jam 8.45 pagi.

Iklan

Difahamkan, salah satu pintu masuk ke kediaman tersebut dikawal ketat oleh pasukan keselamatan swasta yang menyediakan polis bantuan, kon keselamatan serta penghadang di kawasan pagar utama.

Wartawan dan jurugambar yang berada di lokasi bagaimanapun tidak dibenarkan menghampiri kawasan kediaman sepanjang operasi berlangsung.

OSZAR »