Serangan udara Israel bunuh pemandu jentolak

GAZA - Seorang orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera lewat malam Isnin selepas pesawat Israel menyasarkan jentolak di barat kem pelarian Al-Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza.
Agensi berita Palestin, Wafa melaporkan, saksi melihat pesawat Israel menembak jentolak di barat kem pelarian yang ketika itu cuba mengalihkan kenderaan yang terperangkap di kawasan berkenaan.
Serangan udara itu mengakibatkan pemandu terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Pada petang Isnin, seorang kanak-kanak terbunuh dan beberapa orang awam lain cedera selepas tentera Israel membedil kereta yang ditarik oleh haiwan di barat kem pelarian Al-Nuseirat.
Pada ketika ini, lebih 300,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal mula pulang ke utara Gaza yang dilanda perang pada Isnin selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian untuk membebaskan enam lagi tebusan.
Perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang rapuh antara Israel dan Hamas bertujuan untuk menamatkan perang selama lebih 15 bulan yang bermula pada 7 Oktober 2023.
Israel sebelum ini telah menghalang rakyat Palestin daripada kembali ke utara Gaza, menuduh Hamas melanggar syarat-syarat gencatan senjata, tetapi pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, lewat Ahad mereka akan dibenarkan lulus selepas perjanjian baharu dicapai.
Hamas pula menegaskan, menghalang kepulangan rakyat Palestin itu adalah pelanggaran gencatan senjata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!