Lapan PATI ditahan di kandang ternakan dalam ladang sawit

Antara PATI yang ditahan ketika serbuan di empat premis termasuk kandang ternakan dalam ladang kelapa sawit sekitar Felda Tenggaroh pada Isnin. - Foto JIM Johor
Antara PATI yang ditahan ketika serbuan di empat premis termasuk kandang ternakan dalam ladang kelapa sawit sekitar Felda Tenggaroh pada Isnin. - Foto JIM Johor
A
A
A

MERSING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di empat premis termasuk kandang ternakan dalam ladang kelapa sawit sekitar Felda Tenggaroh dekat sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang turut melibatkan Unit Penguatkuasaan JIM Cawangan Mersing itu dilaksanakan susulan maklumat dan aduan awam mengenai kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit selain tiada dokumen perjalanan sah di kawasan terbabit.

“Operasi penguatkuasaan yang dijalankan jam 2.35 hingga 5.50 petang itu berjaya menahan lima lelaki warganegara Indonesia, dua rakyat India dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara lingkungan usia 27 hingga 50 tahun.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rusdi berkata, dua notis untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada kesemua tertuduh.

“JIM Johor akan terus memperkasakan penguatkuasaan di seluruh negeri dalam usaha membanteras warga asing yang melanggar undang-undang serta peraturan.

“Jabatan ini akan turut memerangi majikan, pemilik premis dan individu yang bersubahat menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan serta pas atau permit yang sah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!