Serangan siber: PM arahkan NACSA, MKN bekerjasama rapat dengan MAHB

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan serangan siber ke atas sistem digital MAHB.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri menekankan bahawa kerjasama pasukan kerajaan dan industri harus seiring, agar keupayaan menjaga infrastruktur kritikal negara daripada sebarang ancaman berada pada tahap tinggi.
Insiden itu juga menunjukkan keupayaan tempatan untuk mengendali insiden keselamatan siber harus sentiasa pada tahap terbaik.
Keupayaan kapasiti dan kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh agar kebergantungan kepada pihak asing dalam mengurus sistem kritikal negara, diminimumkan.
"Kesiapsiagaan pakar tempatan dalam berhadapan sebarang insiden keselamatan siber akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani. Ini merupakan jaminan agar keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara sentiasa pada tahap yang tinggi,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Khamis.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes itu.
Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan sistem digital MAHB telah diserang baru-baru ini, dengan penggodam menuntut bayaran AS$10 juta.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!