Program Sinar Kasih Ramadan bantu 250 keluarga miskin tegar

Dr Hartini (paling kiri) menyampaikan sumbangan RM600 dan bakul makanan di Program Sinar Kasih Ramadan 2025.
Dr Hartini (paling kiri) menyampaikan sumbangan RM600 dan bakul makanan di Program Sinar Kasih Ramadan 2025.
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 250 keluarga miskin tegar menerima bantuan menerusi Program Sinar Kasih Ramadan 2025 anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Pengerusi program, Datin Dr Hartini Osman berkata, peningkatan jumlah penerima melebihi sasaran awal sebanyak 200 keluarga itu menunjukkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi membantu golongan memerlukan.

“Program Sinar Kasih Ramadan 2025 yang kini memasuki tahun ke-17 terus menjadi wadah penting dalam usaha YBK membantu keluarga miskin tegar menghadapi cabaran ekonomi sepanjang bulan Ramadan.

“Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2008 hingga tahun 2024, sebanyak 3,999 keluarga telah menerima manfaat daripada program ini,” katanya selepas sesi penyerahan bakul makanan Sinar Kasih Ramadan 2025 pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim yang turut menyertai misi penyerahan bantuan kepada keluarga terpilih di Hulu Langat.

Tambahnya, kriteria penerima bantuan berbuka dan bersahur adalah meliputi keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,198 serta mempunyai tanggungan seramai lima orang atau lebih.

“Bagi setiap keluarga penerima, bantuan disampaikan merangkumi sumbangan tunai sehingga RM600 bergantung kepada kriteria dan kotak makanan yang mengandungi barangan asas keperluan.

“Barangan ini disediakan melalui kerjasama erat antara YBK dan rakan strategik seperti Yayasan Food Bank Malaysia, Mamee-Double Decker Sdn Bhd, Dutch Lady Food Industries Malaysia serta Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Hartini berkata, agihan bantuan yang dikendalikan oleh kakitangan YBK dan sukarelawan bermula seminggu sebelum Ramadan dan selesai pada pertengahan bulan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan bantuan sampai tepat pada masa malah memberikan sentuhan mesra kepada keluarga penerima. Kejayaan program tidak dapat dicapai tanpa sokongan pelbagai pihak.

“Setiap sumbangan sama ada dalam bentuk tunai, barangan mahupun masa adalah bukti keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau percaya bahawa bantuan yang diberikan akan memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga miskin tegar dan menceriakan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Melangkah ke masa hadapan, YBK akan terus menjadi pemacu perubahan sosial demi membasmi kemiskinan di Malaysia. Kejayaan Program Sinar Kasih Ramadan 2025 adalah tanda bahawa usaha bersama mampu memberikan impak yang besar.

“YBK berharap agar kerjasama dengan rakan strategik akan terus berkembang dan lebih ramai keluarga dapat dibantu pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!