Dakwa anak jiran kencing atas badan abang, adik buat laporan polis

PENDANG - Seorang wanita nekad membuat laporan polis selepas mendakwa abang sulungnya yang menghidap skizofrenia diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh anak jiran di Kubur Panjang, di sini.
Nor Zaihan Muhamad Yusof, 29, berkata abangnya yang dikenali sebagai Bang Pit, 40, sering menjadi mangsa gangguan, termasuk insiden terbaharu apabila beberapa anak jiran didakwa kencing ke atas badan lelaki orang kurang upaya (OKU) itu.
Menurutnya, masyarakat seharusnya lebih peka dan menghormati individu yang menghidap penyakit mental serta keluarga yang menjaga mereka.
“Kami sudah sedaya upaya menjaga kebajikan abang, tetapi sangat sedih dan marah apabila jiran tidak menegur atau menghalang anak mereka daripada menceroboh ke dalam kawasan rumah kami serta mengganggu abang secara fizikal dan emosi.
“Lebih mengecewakan, pelakunya ialah kanak-kanak bawah umur yang berkelakuan biadab di hadapan ibu bapa mereka sendiri, seolah-olah dibiarkan tanpa sebarang teguran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Nor Zaihan berkongsi kejadian itu menerusi hantaran di Facebook pada 3 April lalu, memaklumkan bahawa abangnya didiagnosis menghidap skizofrenia sejak berusia enam tahun, dan keluarganya berusaha menjaganya sebaik mungkin selama lebih 40 tahun.
Katanya, keluarga mereka menjaga Bang Pit dengan penuh kasih sayang, malah sentiasa memastikan pagar berkunci dan tingkap bilik dipateri dengan besi demi keselamatan.
“Namun, anak jiran mentertawakan penyakit abang dan menjadikannya bahan ejekan.
“Pernah juga abang mengadu dibaling batu, tapi kami tiada bukti. Baru-baru ini, saya sendiri nampak mereka baling mercun bola ke arah abang yang sedang duduk di garaj,” katanya.
Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan kanak-kanak itu membakar baju yang disidai di pagar dan memanjat masuk ke kawasan rumah walaupun pagar telah dikunci.
“Kejadian terbaru apabila ibu saya melihat sendiri mereka kencing ke atas badan abang, saya anggap sudah melampau, dan sebab itu saya nekad buat laporan di Balai Polis Kubur Panjang pada 3 April lalu,” jelasnya.
Nor Zaihan berharap ibu bapa terbabit dapat mengambil tanggungjawab memantau dan mendisiplinkan anak-anak mereka sebelum insiden lebih serius berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!