PRK Ayer Kuning: Polis nasihat parti bertanding mohon permit awal

IPOH - Polis Perak menasihati parti-parti yang bertanding supaya mengemukakan permohonan mendapatkan permit sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sehingga Ahad, pihak polis telah menerima lima permohonan permit ceramah dengan kesemuanya diluluskan.
Menurutnya, sebanyak 17 kempen direkodkan sejak Hari Penamaan Calon manakala tiada insiden direkodkan sepanjang tempoh kempen setakat ini.
"Kita sarankan parti-parti yang bertanding buat permohonan supaya tidak berebut tempat. Kita takut terlalu rapat antara satu ceramah dengan ceramah. Itu kita akan lihat lokasi-lokasi ceramah dan kempen.
"Seboleh-sebolehnya kita akan mengambil kira jarak dan masa, kita akan elak sebarang pertembungan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi PERKEP Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak pada Isnin.
Mengenai individu yang dikenal pasti berpotensi untuk mencetuskan provokasi, Noor Hisam berkata, pihak polis telah mengesan kelibat mereka.
Katanya, setakat ini individu berkenaan mematuhi nasihat polis dan berkempen secara baik.
Beliau turut menasihati semua pihak yang bertanding supaya sentiasa berhemah serta mematuhi peraturan dan undang-undang.
Terdahulu Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Superintenden Johari Yahya yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tapah yang baharu dan Superintenden Charan Ai Wan sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput.
Bagi IPD Tapah, serah tugas yang disaksikan Noor Hisam itu dilakukan antara pemangku, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail kepada Johari dan IPD Sungai Siput pula antara Deputi Superintenden Mohd Rohaizimi Razali kepada Charan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!