PRK Ayer Kuning: Rumah inap desa sekitar Tapah penuh

Antara 'home stay' sekitar Tapah yang menerima tempahan sebulan lebih awal.
Antara 'home stay' sekitar Tapah yang menerima tempahan sebulan lebih awal.
A
A
A

TAPAH - Pemilik rumah inap desa mengakui premis sudah ditempah pengunjung luar sebulan lebih awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pemilik Rezqrich Villa Homestay di Chenderong Balai, Noor Azila Mazlan, 36, berkata, pihaknya tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan, bahkan setiap seorang daripada ahli keluarganya yang memiliki rumah inap desa turut menerima tempahan menginap maksimum dua minggu.

Bagaimanapun, kata wanita tersebut, rata-rata tidak mengambil kesempatan menaikkan harga terlalu tinggi di saat Tapah menjadi tumpuan ramai sepanjang tempoh pilihan raya.

“Rumah inap desa di kawasan Chenderong Balai dan Langkap memang banyak, begitu juga hotel malah tak terlalu jauh dari Tapah sekitar 10 minit sahaja.

“Tetapi, kawasan luar Ayer Kuning pun difahamkan penuh sehingga hujung bulan. Boleh dikatakan permintaan memang meningkat ketara sempena pilihan raya.

“Ada yang tinggal 10 malam sehingga dua minggu. Kami tak kenakan bayaran terlalu tinggi, sebaliknya kami turunkan caj kalau mereka menginap lebih tiga malam contohnya RM250 per malam jadi RM180 sahaja per malam,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.

Artikel Berkaitan:

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.

Sementara itu, pengurus dua unit rumah inap desa sekitar Tapah Road, Rosida Mohamad Yaacob, 58, memaklumkan, pihaknya menerima tempahan bertubi-tubi daripada pengunjung luar, namun mengutamakan pengamal media terlebih dahulu untuk menginap bagi membuat liputan berita sepanjang pilihan raya.

Tambahnya, harga sewaan terpaksa dinaikkan sedikit memandangkan ada pengusaha lain menawarkan caj menginap hanya sehari di Tapah.

“Hari biasa pun selalu orang cari (rumah inap desa) untuk melawat anak di universiti berhampiran, jemputan orang kahwin dan lain-lain.

“Kalau terlalu ramai, saya beri unit ‘home stay’ yang lebih luas iaitu empat bilik berserta pendingin hawa,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!