Perunding jurutera projek J Satine cadang kerja pembinaan diteruskan - DBKL

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak perunding jurutera bagi projek J Satine di Wangsa Maju, di sini mencadangkan agar kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan untuk Blok SOHO serta di Blok A dan B.
Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, kerja-kerja di Blok C dan D hanya boleh dimulakan selepas kerja-kerja pengukuhan asas dan pembaikan struktur disempurnakan sepenuhnya.
Menurutnya, cadangan itu selepas pihaknya menerima Laporan Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Februari yang disediakan jurutera profesional bertauliah.
“Cadangan ini telah disokong oleh jurutera bebas dan mendapat perakuan keselamatan dan kestabilan bangunan oleh jurutera yang terlibat dalam reka bentuk struktur pembangunan J Satine.
“DBKL juga telah menetapkan bahawa pihak perunding jurutera projek perlu mengemukakan Laporan Kemajuan Bulanan dan Laporan Penyiapan Kerja Pembaikan yang telah disemak dan disahkan oleh perunding bebas kepada DBKL pada setiap hujung bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini dilaporkan, DBKL mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju di sini selepas terdapat kesan keretakan struktur bangunan.
DBKL berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan satu letupan telah berlaku di tapak pembinaan tersebut.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihak pemaju telah diarahkan untuk mengadakan sesi libat urus bersama pembeli unit J Satine serta agensi berkaitan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perumahan Negara dalam tempoh dua minggu dari tarikh surat tarik balik notis henti kerja dikeluarkan.
“DBKL sentiasa memastikan segala tindakan yang diambil dalam isu pembangunan J Satine ini berteraskan kepada prinsip akauntabiliti, keselamatan, ketelusan dan integriti.
“Selain itu, DBKL juga akan terus memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan pembaikan serta kemajuan projek ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan semua pihak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!