Warga emas maut dilanggar ketika buat pusingan U selepas keluar masjid

PASIR PUTEH - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika membuat pusingan U sejurus keluar dari masjid di Jalan Tebing Tinggi ke Tok Bali, Pasir Puteh, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan berlaku pada jam 2.20 petang di hadapan Masjid As-Syakirin Tok Bali.
“Ketika kejadian, mangsa berumur 74 tahun dipercayai keluar dari masjid melalui susur kiri dan membelok ke kanan untuk menghala ke arah Pasir Puteh.
“Ketika membuat pusingan U, sebuah kereta dari arah Pasir Puteh menghala ke Tok Bali yang dipandu lelaki berumur 31 tahun telah melanggar bahagian sisi kanan motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak cedera.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 0199386224,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!