Israel rancang ‘takluk' Gaza dalam serangan besar-besaran

Penduduk Palestin beratur untuk mendapatkan makanan panas di dapur amal, Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah. - Foto: AFP
Penduduk Palestin beratur untuk mendapatkan makanan panas di dapur amal, Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah. - Foto: AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS – Pemimpin politik dan tentera Israel telah meluluskan rancangan untuk memperluas operasi ketenteraan di Genting Gaza serta mengambil alih pengagihan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terjejas teruk akibat sekatan berpanjangan, lapor Al-Jazeera.

Menurut laporan, Kabinet Keselamatan yang diketuai Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebulat suara bersetuju untuk memanggil masuk anggota tentera simpanan serta meletakkan Angkatan Tentera Israel (IDF) sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan bekalan makanan dan keperluan penting kepada 2.3 juta penduduk Gaza.

Agensi berita antarabangsa melaporkan beberapa pegawai Israel yang tidak dinamakan memaklumkan bahawa pelan tersebut turut melibatkan rancangan untuk “menakluk dan menduduki keseluruhan Gaza”.

Menurut Reuters, serangan berskala besar ini “boleh menjangkau sehingga penawanan seluruh wilayah Gaza”.

Sumber yang dipetik AFP pula memaklumkan bahawa pelan tersebut merangkumi penempatan semula penduduk Gaza ke bahagian selatan atas alasan keselamatan.

Dalam masa yang sama, Netanyahu juga didakwa terus mempromosikan pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyarankan pemindahan secara sukarela rakyat Palestin dari wilayah terbabit.

Rancangan tersebut turut membuka ruang kepada Israel untuk mengawal sepenuhnya pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Kerajaan Israel bagaimanapun menafikan dakwaan kumpulan bantuan antarabangsa bahawa penduduk Gaza kini diancam kebuluran, walaupun rejim Zionis itu telah menutup sepenuhnya pintu masuk bantuan sejak 2 Mac lalu, iaitu 16 hari sebelum operasi ketenteraan disambung semula.

Artikel Berkaitan:

Menurut The Times of Israel, rancangan itu akan melibatkan organisasi antarabangsa dan kontraktor keselamatan swasta untuk mengedarkan bantuan makanan kepada keluarga-keluarga di Gaza, manakala tentera Israel akan mengawal keselamatan persekitaran sepanjang proses itu.

Sementara itu, akhbar Israel Hayom dan The Times of Israel juga melaporkan bahawa rancangan ini melibatkan penjajahan ke atas seluruh Gaza, yang mencetuskan ketegangan serius dalam kalangan kepimpinan Israel sendiri.

Netanyahu tetap menegaskan matlamat utama serangan adalah untuk “mengalahkan Hamas” dan membawa pulang berpuluh-puluh tebusan yang dipercayai masih ditahan di Gaza.

Namun, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, sebuah kumpulan kempen Israel –dalam kenyataan pada Isnin berkata bahawa pelan ini secara langsung “mengorbankan” nyawa tebusan yang masih belum dibebaskan.

Dilaporkan berlaku pertelingkahan panas antara pemimpin politik dan tentera dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan, apabila Ketua Tentera, Eyal Zamir, memberi amaran bahawa Israel mungkin “kehilangan” tebusan jika tetap meneruskan serangan ketenteraan secara besar-besaran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!