Sekeluarga disamun lima lelaki menyamar polis

Suspek memakai pelitup muka dan dua daripada mereka mengenakan vest polis memecah masuk rumah mangsa melalui pintu hadapan.
Suspek memakai pelitup muka dan dua daripada mereka mengenakan vest polis memecah masuk rumah mangsa melalui pintu hadapan.
A
A
A

KAJANG - Seorang pesara bersama ahli keluarganya berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan individu menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di sebuah rumah di Semenyih, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 5.02 pagi berlaku ketika lelaki berumur 55 tahun itu berada dalam rumah bersama tiga ahli keluarganya yang lain.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lima suspek yang tidak dikenali memakai pelitup muka dan dua daripada mereka mengenakan vest polis memecah masuk rumah mangsa melalui pintu hadapan.

"Mereka kemudian melarikan beberapa barangan kemas, dua telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM500,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Susulan itu, satu operasi khas digerakkan untuk mengesan kesemua suspek terlibat dalam kejadian ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!