Isu pengusiran Kampung Jempangah: Ahli Parlimen Beaufort akan jumpa pemilik tanah

Laporan Sinar Harian berhubung penduduk berdepan pengusiran, tanah mereka kini milik pihak lain. (Gambar kecil: Siti Aminah)
Laporan Sinar Harian berhubung penduduk berdepan pengusiran, tanah mereka kini milik pihak lain. (Gambar kecil: Siti Aminah)
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah Kampung Jempangah, Beaufort, susulan kira-kira 200 penduduk di kampung itu berdepan tindakan pengusiran dari tanah yang didiami sejak hampir 80 tahun lalu.

Menurut bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu, pertemuan tersebut adalah sebagai salah satu usahanya untuk memohon rayuan daripada pemilik tanah bagi melanjutkan tempoh pengosongan tempat berkenaan.

"Mengenai isu ini sebenarnya saya turut terkesan kerana penduduk yang terlibat adalah rakyat tempatan dan pengundi di kawasan saya.

"Sejak awal lagi saya ada cuba berbincang dengan pihak berkaitan namun menemui jalan buntu sehinggalah menerima khabar bahawa penduduk terpaksa keluar dari tanah tersebut dalam masa terdekat.

"Jadi, saya berhasrat ingin mengadakan pertemuan dengan pihak pemilik tanah untuk merayu agar tempoh pengusiran mereka selama dua minggu itu dilanjutkan lagi bagi memberi ruang kepada semua penduduk berpindah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan sebanyak 53 rumah terlibat dalam arahan pengosongan membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, menerusi notis mahkamah yang diterima pada 7 Mei lalu.

Penduduk mendakwa hanya mengetahui status tanah berkenaan milik individu lain selepas satu papan tanda pemilikan diletakkan di kawasan tersebut pada Disember 2022.

Namun, rata-rata penduduk tidak menyangka tanah yang sepatutnya dalam proses permohonan pewartaan sejak lebih 30 tahun lalu di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beaufort adalah milik orang lain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!