Peniaga edar arak tidak bercukai diberkas, rampasan lebih RM500,000

JOHOR BAHRU - Helah seorang peniaga tempatan menyimpan dan mengedar arak tidak bercukai dari sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mount Austin, di sini, terbongkar apabila polis menyerbu premis berkenaan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata serbuan yang dijalankan sekitar jam 10.30 pagi itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman hasil maklumat awam.
"Hasil serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai menjadi dalang sindiket tersebut.
“Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai serta dua kenderaan jenis MPV yang digunakan untuk mengangkut arak berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu, dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Raub memaklumkan jumlah rampasan melibatkan 27 jenis minuman keras dalam bentuk tin dan botol yang disimpan di dalam rumah serta kenderaan terbabit, dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM316,595.
Menurutnya, dua kenderaan mewah yang turut dirampas ialah Toyota Estima bernilai RM65,000 dan Toyota Vellfire bernilai RM130,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM511,595.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan ini sejak setahun lalu dengan mendapatkan bekalan dari kawasan bebas cukai di Forest City, Iskandar Puteri, sebelum diedarkan kepada kedai runcit dan kenalan sekitar Johor Bahru.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini direman selama 14 hari bermula 8 hingga 21 Mei bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Raub turut memaklumkan bahawa sampel arak yang dirampas telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam untuk tujuan analisis dan penilaian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kebenaran dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!