Kanak-kanak 10 tahun dibakar 'hidup-hidup' oleh empat kawan

SITUBONDO – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dibakar oleh empat rakan sebayanya dalam kejadian yang berlaku di Situbondo, Jawa Timur, pada Isnin lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai AQ mengalami luka melecur serius di seluruh badan, dan kini sedang dirawat secara intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital RSUD Abdoer Rahem Situbondo.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Situbondo, AKP Agung Hartawan, mengesahkan bahawa siasatan kini dijalankan oleh Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA), melibatkan kes penderaan berat terhadap kanak-kanak di bawah umur.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa disimbah cecair alkohol oleh empat rakannya dan kemudiannya dibakar.
"Mangsa menjerit kesakitan akibat api yang merebak ke seluruh badannya,” kata Agung kepada media tempatan pada Rabu.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika mangsa keluar untuk membeli makanan dan didatangi kumpulan rakan tersebut yang kemudiannya bertindak kejam menyimbah bahan mudah terbakar ke tubuhnya dan menyalakan api.

Keempat-empat suspek yang berumur antara 10 hingga 12 tahun telah dipanggil bersama ibu bapa masing-masing untuk proses siasatan.
Mereka turut diminta melakukan lakonan semula kejadian sebagai sebahagian daripada siasatan forensik.
Insiden itu turut mendapat perhatian Bupati Situbondo, Yusuf Rio Wahyu Prayogo, yang melawat mangsa di hospital dan menerima taklimat penuh daripada pihak polis.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa dan meminta agar semua ibu bapa meningkatkan kawalan terhadap anak-anak.
“Anak itu masih berada di ICU dan belum boleh dilawati. Saya sudah minta laporan penuh daripada polis dan ingin tahu sama ada kejadian itu berlaku atas unsur jenaka yang keterlaluan atau tindakan serius yang disengajakan,” katanya.
Beliau juga berharap agar kes tragik seumpama ini tidak berulang dan menggesa masyarakat untuk memupuk nilai empati dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!