Dua beradik hadiahkan enam ikan sempena Hari Guru

Armin (kiri) dan Aida Izabella menghadiahkan enam ekor ikan kepada guru mereka dalam sambutan perayaan Hari Guru baru-baru ini.
Armin (kiri) dan Aida Izabella menghadiahkan enam ekor ikan kepada guru mereka dalam sambutan perayaan Hari Guru baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Dua beradik meraikan sambutan Hari Guru dengan menghadiahkan enam ekor ikan segar kepada guru mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, Pulau Tioman, Pahang, pada Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian video di TikTok milik @scubanaut16, kanak-kanak yang juga pelajar di sekolah berkenaan menarik perhatian ramai apabila membawa ikan tersebut sebelum diserahkan kepada guru mereka.

Bapa kepada dua anak itu, Jamaludin Musa, 41, berkata, hadiah yang terdiri daripada ikan jenis gomblang dan kerapu itu diperoleh dengan bantuan daripada rakan-rakannya.

Jamaludin (dua dari kanan) bergambar bersama isteri dan anak-anaknya.
Jamaludin (dua dari kanan) bergambar bersama isteri dan anak-anaknya.

“Ikan jenis gomblang itu dipancing oleh kawan dan diberikan kepada saya. Anggaran berat ikan tersebut lebih kurang lima kilogram (kg).

“Ikan jenis kerapu pula saya beli daripada kawan. Untuk 1kg, lima ekor ikan boleh didapati dalam lingkungan RM90 hingga RM100 bergantung pada tempat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Jamaludin, idea berkenaan telah dirancang sejak tahun 2019 bagi menghargai jasa guru yang telah mendidik anaknya, Armin Jamaludin, 11, dan adiknya, Aida Izabella Jamaludin, 8.

Tambahnya, pemberian hadiah tersebut turut dilihat sesuai memandangkan ia menggambarkan jati dirinya sebagai anak pulau yang dibesarkan dengan hasil makanan laut.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah lama menetap di Kampung Salang, Pulau Tioman sejak tahun 2002 hingga sekarang. Manakala ayah saya pula bekerja sebagai nelayan.

“Sebagai orang pulau dan anak nelayan, saya fikir memang sesuai untuk memberikan ikan-ikan tersebut sebagai hadiah.

“Hadiah itu pula dikongsi oleh semua guru, di mana mereka memasak dan makan bersama-sama dalam majlis makan malam,” ujarnya.

Jamaludin yang bekerja sebagai juruselam berkata, faktor jarak dan keadaan ikan merupakan antara cabaran dalam memastikan hadiah berkenaan tidak terjejas sebelum diserahkan kepada guru.

“Dari segi jarak, kawasan saya di Kampung Salang, Pulau Tioman agak jauh dari sekolah anak. Kebiasaannya saya akan gunakan bot, yang mengambil masa sekitar 10 minit.

“Kali ini, sebelum hari majlis sambutan Hari Guru, saya sudah buat perancangan awal. Contohnya ikan gomblang, saya telah bekukan di rumah sebelum dibawa ke rumah rakan yang berdekatan dengan sekolah.

“Saya tumpang simpan ikan di sana sehingga ia cair sedikit sebelum diberikan kepada anak. Lagi lima ekor ikan pula saya beli sebab risau tidak cukup untuk guru lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!