Dakwaan Sanusi tidak berasas - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kononnya berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana SOP perlombongan REE telah pun disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri sejak Disember tahun lalu.

“Dakwaan seolah-olah wujud halangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menghalang kemajuan negeri-negeri gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4) adalah tidak benar sama sekali.

“SOP ini telah disediakan secara menyeluruh, merangkumi panduan teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurut beliau, dokumen SOP tersebut adalah berdasarkan perundangan sedia ada dan membolehkan kerajaan negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang masing-masing.

“Oleh itu, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan,” jelas Nik Nazmi.

Tegasnya, sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.

Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sanusi pada Jumaat lalu mendakwa kelewatan pengeluaran SOP REE oleh Kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah SG4 daripada menjadi lebih maju.

Katanya, sehingga kini SOP bagi mengekstrak galian tersebut masih belum dikeluarkan oleh NRES.

Mengulas lanjut dakwaan kononnya SOP eksplorasi REE belum disediakan, beliau menjelaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, di Kedah, perkara ini telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah. Maka tidak timbul isu tiada garis panduan,” katanya.

Nik Nazmi turut menyifatkan tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri sebagai satu tohmahan yang tidak tepat.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi, tetapi juga kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira negeri,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama mengingatkan agar pemimpin negeri tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik.

“Rakyat lebih memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!