'Pulanglah Nurhidayah, ayahmu sakit'

Nurhidayah
Nurhidayah
A
A
A

NILAI - Seorang bapa yang lumpuh kerap menangis kerana bimbang akan keselamatan anak perempuannya yang berusia 17 tahun, yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Khamis lalu.

Remaja tersebut, Nurhidayah Jamalludin, dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung LB Johnson, di sini kira-kira jam 7.15 pagi dengan memakai pakaian sekolah.

Bapa saudaranya, Mohd Shazali Muhamad, 47, berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sebuah kereta tidak dikenali membuat pusingan di hadapan rumah ketika kejadian.

"Nurhidayah keluar untuk melihat kereta itu, dan apabila ibunya bertanya, dia memberitahu ada orang meminta tunjukkan jalan.

"Selepas itu, ibunya mendapati kereta terbabit sudah bergerak, dan Nurhidayah juga tiada," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Mohd Shazali, Nurhidayah 'hilang' tanpa membawa apa-apa barang. Beg dan tudung sekolah ditinggalkan di rumah.

Tambahnya, sebelum ke sekolah, Nurhidayah akan bersalam dengan ibu bapanya sebelum menaiki van sekolah.

"Ahli keluarga telah berusaha mencarinya di kawasan sekitar, termasuk di Kuarters KLIA, selain bertanya kepada rakan-rakannya, namun tiada yang tahu keberadaannya.

Artikel Berkaitan:

"Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada Jumaat lalu, selepas dia tidak pulang dalam tempoh 24 jam," katanya.

Tambah Mohd Shazali, bapa remaja itu sanggup keluar rumah dalam keadaan bertongkat untuk mencari anak bongsunya itu, walaupun keadaannya tidak mengizinkan.

Malah, bapanya sering menangis kerana terlalu risau akan keselamatan Nurhidayah, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

"Nurhidayah, kalau baca berita ini, pulanglah kerana ayah tak sihat dan sekarang kerap menangis kerana risau.

"Dia bimbang keselamatan anaknya jika terbabit dengan kes pemerdagangan manusia atau ditipu dan dibawa lari untuk dieksploitasi," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu pada Jumaat lalu dan siasatan sedang dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!