JANM kesan transaksi penipuan RM10.4 juta libat penjawat awam

Nor Yati ketika Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Kuala Lumpur pada Isnin.
Nor Yati ketika Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Transaksi penipuan bernilai RM10.4 juta membabitkan penjawat awam di sebuah jabatan Persekutuan antara kes yang pernah direkodkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad berkata, dari tahun 2019 hingga 2024, siasatan terhadap transaksi penipuan yang melibatkan dana awam membawa kepada pemulihan atau pengesanan kerugian kira-kira RM18 juta.

“Terdapat satu kes yang melibatkan penjawat awam, dengan jumlah RM10.4 juta. Ia berlaku di sebuah jabatan Persekutuan di dalam negara.

“Ia dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada sistem tersebut. Tindakan susulan telah diambil oleh pihak berkuasa penguatkuasaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Royale Chulan, di sini pada Isnin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Menurut Nor Yati, kebanyakan modus operandi penipuan perakaunan melibatkan manipulasi prosedur dan proses kewangan serta pengubahan sistem seperti sistem perakaunan dan pengurusan kewangan.

“Selain mengambil tindakan agresif berdasarkan laporan daripada pihak ketiga dan sumber lain, jabatan ini turut mengamalkan pendekatan proaktif dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Langkah ini termasuk menganalisis data kewangan untuk mengesan petunjuk awal (red flags) serta mengenal pasti kejanggalan dalam transaksi yang mencurigakan atau luar biasa. Kita juga sedang melaksanakan usaha ini,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam ucapannya semasa peluncuran KKFP berkata, landskap jenayah kewangan kini semakin kompleks dengan elemen teknologi, penggunaan akaun proksi, transaksi lintas sempadan, dan 'layering' melalui pelbagai syarikat.

Jelasnya, integriti perakaunan kini tidak boleh dilihat hanya sebagai isu pematuhan, tetapi merupakan barisan hadapan dalam usaha melindungi institusi negara serta kedaulatan ekonomi.

"Kita tidak boleh melihat isu ini secara terasing. Dunia sedang menilai Malaysia, termasuk melalui laporan-laporan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Transparency International.

"Penambahbaikan kepada Akta Audit 1957 dan cadangan pemerkasaan Akta Akauntan 1967 amat dialu-alukan. Langkah ini bukan sahaja akan mengukuhkan bidang kuasa, tetapi juga membina keyakinan bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam isu akauntabiliti kewangan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!