Peniaga hilang selepas keluar merokok di taman permainan

KUANTAN - Seorang peniaga dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk menghisap rokok di sebuah taman permainan berhampiran rumahnya di Lorong Bukit Ubi 46 di sini, Rabu lalu.
Kehilangan D Balamurugan, 36, hanya dilaporkan isterinya, seorang warga India berusia 31 tahun, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki itu keluar rumah kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian hanya membawa dompet.
"Kehilangan lelaki itu hanya disedari isterinya apabila dia tidak kembali semula ke rumah.
"Isterinya telah keluar mencari di kawasan sekitar namun gagal menemuinya. Mangsa juga gagal dihubungi kerana tidak menggunakan telefon bimbit," katanya.
Beliau berkata, kawan-kawan dan ahli keluarga mangsa yang dihubungi juga tidak tahu lokasi keberadaan lelaki itu.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil semakan CCTV di rumah jiran mendapati ada rakaman menunjukkan mangsa berjalan menuju ke taman permainan berdekatan pada hari kejadian.
Jelas beliau lagi, mangsa yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Balok sejak 18 tahun lalu dipercayai mengalami depresi.
"Berdasarkan maklumat dari keluarga, mangsa telah menutup kedai sejak beberapa hari lalu ekoran masalah hutang," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa diminta berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan.
Sementara itu, katanya, usaha mengesan remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Chenggal Lempong di sini pada Sabtu lalu masih diteruskan.
Wan Mohd Zahari berkata, setakat ini belum ada perkembangan atau petunjuk keberadaan Mas Rayyan Riqqin Abdullah.
Remaja itu dipercayai keluar rumah namun sempat meninggalkan nota meminta maaf kepada ibunya selain memberitahu niatnya untuk hidup berdikari.
Laporan polis berhubung kehilangan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chenggal Lempong di sini dibuat ibunya jam 8.51 malam pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!