Kerajaan digesa perluas MyDigital ID

Saranan penggunaan identiti digital merupakan inisiatif terbaik memandangkan ia boleh diakses terus menerusi telefon pintar. Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Siraj, Seri Utami Dewi)
Saranan penggunaan identiti digital merupakan inisiatif terbaik memandangkan ia boleh diakses terus menerusi telefon pintar. Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Siraj, Seri Utami Dewi)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepat dan memperluaskan penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh bagi membendung risiko kehilangan MyKad membabitkan golongan belia, sekali gus mengekang penyalahgunaan dokumen pengenalan diri rakyat negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, saranan penggunaan identiti digital seperti pelaksanaan lesen memandu digital merupakan inisiatif terbaik memandangkan ia boleh diakses terus menggunakan telefon pintar yang menjadi peranti utama golongan tersebut pada zaman kini.

Menurutnya, langkah mengimplementasi identiti digital bukan sahaja memudahkan pengguna malah mengurangkan risiko kehilangan dokumen penting serta membantu pihak berkuasa menjalankan pengesahan identiti dengan lebih efisien.

“Kadangkala isu kehilangan MyKad ini bukan berpunca daripada kecuaian semata-mata, tetapi ada dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa jenayah curi atau mungkin tercicir ketika menunggang motosikal.

“Situasi seperti ini memang sukar dielakkan, jadi saya merasakan bayaran denda sedia ada sudah memadai.

“Namun, tumpuan sekarang perlu diberikan kepada usaha mengurangkan statistik kehilangan MyKad dengan memperluaskan penggunaan identiti digital,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melaporkan, sejumlah 142,535 atau hampir separuh daripada 285,568 kes kehilangan MyKad dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, angka itu amat membimbangkan kerana MyKad merupakan dokumen penting dan menjadi akses bagi pelbagai urusan rasmi rakyat negara ini, sama ada bersifat peribadi atau melibatkan urusan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Siraj menjelaskan bahawa senario kehilangan MyKad hari ini jauh lebih merisaukan berbanding 20 tahun lalu kerana risikonya semakin besar sekiranya disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika MyKad jatuh ke tangan individu berniat jahat, ia boleh disalah guna untuk pelbagai aktiviti jenayah seperti perbuatan mendaftarkan nombor telefon bagi sindiket akaun keldai.

“Semua situasi ini boleh mengheret pemilik asal kad ke muka pengadilan walaupun mereka tidak bersalah.

“Sebab itu, golongan belia perlu lebih berhati-hati. Sekali MyKad hilang mungkin boleh diganti tetapi kesan jangka panjang akibat penyalahgunaan maklumat peribadi itu hakikatnya lebih membimbangkan,” katanya.

Bagi Pengurus Besar Powerbloc Generation, Seri Utami Dewi Kasman pula, penggunaan MyKad yang terhad kepada urusan rasmi menyebabkan golongan belia cenderung mengambil mudah dalam aspek penjagaan kad tersebut berbanding soal penjagaan akaun media sosial yang lebih dekat dengan kehidupan harian mereka.

Menurutnya, golongan itu juga kurang pengalaman dalam menguruskan dokumen peribadi dan masih belum memahami sepenuhnya kepentingan melindungi kad berkenaan yang berisiko tinggi disalah guna sekiranya hilang.

“Aspek keselamatan dokumen MyKad sering terlepas pandang kerana dianggap tidak penting atau tidak digunakan setiap hari.

“Mereka lebih prihatin terhadap keselamatan telefon bimbit atau akaun media sosial kerana ia digunakan secara langsung dan kerap. Sementara MyKad hanya digunakan untuk urusan rasmi seperti pendaftaran sekolah atau urusan kerajaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!