Wanita lepas ular di kondominium gara-gara jiran bela haiwan peliharaan

BANGKOK – Seorang wanita mencetuskan kekecohan apabila bertindak melepaskan dua ekor ular di kawasan lif sebuah kondominium di Ratchada sebagai tanda protes terhadap jiran-jirannya yang memelihara anjing dan kucing.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Onginn turut berkongsi gambar dan video kejadian itu di akaun Facebook miliknya pada Isnin lalu.
Gambar tersebut memaparkan dua ekor ular dilepaskan berhampiran lif bangunan yang turut dihuni oleh pemilik anjing dan kucing.
Dalam hantaran sama, Onginn mendakwa dia telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak pengurusan kondominium berhubung gangguan daripada haiwan peliharaan jiran.
Katanya, masalah bunyi anjing menyalak, kencing kucing, kutu dan pepijat sering berlaku namun tiada tindakan diambil.
“Awak bela anjing dan kucing, saya bawa ular. Biar kondominium ini jadi taman hidupan liar.
“Bawalah kucing dan anjing awak keluar bermain! Haiwan peliharaan saya pun nak tunjuk kasih sayang. Mereka akan peluk anjing awak seerat-eratnya sampai tak boleh menyalak,” tulisnya.
Tindakan luar biasa itu tular di media sosial dan meraih lebih 17,000 perkongsian selain ribuan komen daripada netizen.
Sebahagian pengguna menyifatkan tindakan Onginn sebagai keterlaluan tetapi memuaskan hati memandangkan dia terpaksa berdepan gangguan yang berpanjangan.
Ada juga yang bersimpati dengan keadaannya dan berpendapat jiran sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam memelihara haiwan.
Namun, ramai mengecam perbuatannya sebagai berbahaya dan tidak wajar dilakukan di kawasan kediaman.
Malah, ada yang turut mengesyaki rakaman itu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana kelihatan tidak meyakinkan.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bahawa pihak pengurusan telah memanggil individu terlibat bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Akhirnya, kedua-dua pihak dikenakan denda sebanyak 10,000 baht (RM1,300) setiap seorang sebagai tindakan disiplin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!