'Geng Amy' aktif kes pecah rumah tumpas

KOTA KINABALU - Polis berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai 'Geng Amy' yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah pecah rumah di daerah ini menerusi beberapa siri tangkapan pada Isnin lalu.
Empat suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan di beberapa lokasi berasingan susulan dua laporan kes pecah rumah di sekitar Luyang dan Jalan Penampang di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kedua-dua kes melibatkan kehilangan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan barangan lain dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM10,000.
"Susulan daripada itu, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan berjaya melumpuhkan kumpulan ini dengan tertangkapnya salah seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tersebut di Jalan Gaya.
"Turut dirampas peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut iaitu kuku kambing dan pakaian yang dipakai semasa melakukan pecah rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, tangkapan pertama membawa kepada penahanan tiga lagi suspek menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah ini.
"Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa telefon bimbit dan sebuah kereta sewa yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam dua kes pecah rumah dan kita percaya mereka turut melakukan jenayah sama di beberapa lokasi lain," katanya.
Menurut Kasim, semakan terhadap rekod jenayah lampau mendapati tiga daripada suspek pernah terlibat dalam pelbagai kes jenayah, manakala seorang lagi suspek tiada rekod kerana merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Suspek pertama dikesan pernah terlibat dalam kes pecah rumah, samun, curi kabel serta penyalahgunaan dadah sejak 2017 dan pernah menjalani hukuman penjara.
"Suspek ketiga pula mempunyai sekurang-kurangnya 26 rekod jenayah sejak 2017 membabitkan kes pecah rumah, dadah dan lain-lain, manakala suspek keempat mempunyai 16 rekod berkaitan jenayah serupa sejak 2021," katanya.
Tambah beliau lagi, modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan kawasan perumahan elit dan sunyi, terutama ketika penghuni tiada di rumah.
"Mereka melakukan kegiatan ini pada waktu siang ketika penghuni bekerja dan juga pada waktu malam jika rumah ditinggalkan kosong.
"Kumpulan ini turut dikesan aktif di daerah lain seperti Penampang, Papar, Kudat dan Sandakan," katanya.
Kasim berkata, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!