15 wartawan diiktiraf di Anugerah Media Agrobank 2025

Antara penerima anugerah sempena Anugerah Media Agrobank pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Antara penerima anugerah sempena Anugerah Media Agrobank pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 15 pengamal media daripada pelbagai agensi menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Media Agrobank 2025 anjuran syarikat perbankan pertanian itu dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya memperuntukkan hadiah keseluruhan berjumlah RM45,000 untuk lima kategori dipertandingkan membabitkan 110 penyertaan.

Menurutnya, program tahunan itu dilaksanakan bagi menghargai pengamal media yang tidak pernah jemu menyampaikan berita mengenai sektor pertanian kepada orang awam.

“Agromakanan merupakan salah satu sektor terpenting di negara ini dan kita juga umumnya berdepan pelbagai cabaran dari segi keterjaminan makanan.

“Justeru, Agrobank berharap kesemua rakan media dapat meneruskan segala usaha untuk memperkasakan agromakanan dan industri pertanian negara dengan menerbitkan artikel atau dokumentari menarik.

“Ia bagi menarik minat masyarakat terutama anak muda untuk menceburi bidang ini pada masa akan datang,” katanya ketika majlis Anugerah Media Agrobank 2025 di Hotel Sheraton, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak; Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ainol Amriz Ismail.

Antara lima kategori dipertandingkan ialah Anugerah Media Cetak dan Portal Berita Anugerah Media (Berita); Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Rencana); Anugerah Media Penyiaran dan Video Dalam Talian (Berita & Laporan Khas); Anugerah Media Radio dan Anugerah Teknologi dan Digital Agrobank.

Artikel Berkaitan:

Tempat pertama bagi setiap kategori membawa pulang RM5,000 manakala tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga memperoleh RM1,000.

Penyertaan dibuka kepada wartawan dan pencipta kandungan yang menghasilkan karya antara 16 April 2024 hingga 10 Mac tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!