[VIDEO] Pekerja kilang direman bantu siasatan kes simbah asid pengusaha spa
BACHOK - Seorang pekerja kilang getah direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid melibatkan seorang pengusaha spa di Beris Kubur Besar, Tawang di sini pada Sabtu.
Perintah reman yang bermula pada Khamis hingga Isnin depan dikeluarkan kepada wanita berusia 38 tahun tersebut oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Terdahulu suspek yang memakai baju-T dan tudung berwarna biru serta berseluar sukan tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9.20 pagi.
Wanita berasal dari Machang itu akan disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pengusaha spa terpaksa menjalani pembedahan selepas disimbah asid dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu di sebuah spa di Beris Kubur Besar, Tawang.
Wanita berusia 27 tahun itu berada di spanya bersama anak selepas menerima mesej daripada seorang 'pelanggan' yang mahu mendapatkan khidmat urutan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek membuat temu janji untuk mendapatkan rawatan urut di premis milik mangsa.
Katanya, ketika mangsa sedang membuka pintu, suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid sebelum melarikan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!