Warga emas ditahan, disyaki amang seksual dua anak jiran

HULU TERENGGANU – Polis menahan seorang warga emas berusia 66 tahun selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak dan seorang remaja perempuan di Kampung Kuala Akob, Kuala Berang, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek yang juga jiran kepada mangsa ditahan di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah mangsa kira-kira jam 7.04 malam pada Rabu.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 10 dan 14 tahun dipercayai menjadi mangsa perlakuan tidak bermoral lelaki terbabit.
"Anggota polis segera bertindak dan berjaya menahan suspek pada hari yang sama sebaik menerima laporan semalam (Rabu).
"Suspek yang bekerja sebagai buruh kini direman selama lima hari bermula Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Sharudin turut menasihatkan ibu bapa agar lebih prihatin dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.
"Jangan biarkan anak-anak kecil tanpa pengawasan, lebih-lebih lagi apabila mereka berada di luar rumah atau berinteraksi dengan orang dewasa yang bukan ahli keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!