Fadhlina tekad perkasa Wanita PKR hadapi masa depan

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

JOHOR BAHRU – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, meletakkan iltizam untuk memperkukuh sayap parti itu serta meneruskan perjuangan memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang aktivisme, politik dan kepimpinan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Fadhlina yang akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025–2028 berkata, usaha memperkukuh sayap parti perlu digerakkan melalui pendekatan proaktif dan strategi ampuh yang kalis cabaran masa depan.

“Pemilihan ini adalah tradisi pertandingan dalam keluarga parti Keadilan. Ia adalah mengenai bagaimana kita dapat menawarkan khidmat kebaktian yang terbaik untuk parti, seluruh rakyat dan negara,” katanya.

Pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi merebut jawatan Ketua Wanita antara Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan, dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Selain itu, Fadhlina berkata, inisiatif seperti Sekolah Wanita (SWAN), Program 30 Women Representatives (30Wreps), Run-2-Win, Skuad Ihsan Madani Wanita Keadilan, dan Bakul Makanan Wanita turut diperkasa sebagai wadah untuk memberdayakan wanita serta menyemarakkan semangat kebaktian demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Beliau berkata, Wanita PKR terus teguh mendepani cabaran masa depan dengan memperkukuh Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) selari dengan seruan pendigitalan dalam pengurusan organisasi parti, selain komited meneruskan aktivisme menerusi program i-Suri demi melindungi golongan wanita, khususnya suri rumah.

Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Johor Bahru bermula dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita oleh Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh, malam ini.

Proses pengundian akan diadakan esok, melibatkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!