MyKiosk: Jika ada elemen rasuah kita akan siasat - Azam Baki

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beberapa dokumen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan projek MyKiosk pada Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum ini SPRM tidak menerima laporan khusus berkaitan dokumen, keterangan dan sebagainya mengenai isu berkenaan.

"SPRM juga telah menerima laporan daripada MCA pada semalam (Rabu). Saya memberi jaminan sekiranya ada elemen rasuah, kita akan siasat. Beri masa untuk SPRM meneliti perkara tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Khamis.

Azam berkata, apa yang dilaporkan kepada SPRM berkaitan isu berkenaan adalah berdasarkan maklumat daripada media sosial.

"SPRM perlu membuat pengesahan, kita perlu adil kepada pihak yang ditohmah dan tidak boleh membuat kesimpulan terburu-buru," katanya.

Pada Khamis, KPKT menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan dan integriti projek tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali menjelaskan, langkah tersebut diambil berikutan aduan daripada pihak tertentu mengenai dakwaan penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.

Katanya, KPKT tampil secara sukarela memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen berkenaan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima permintaan daripada pihak SPRM.

Artikel Berkaitan:

KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan memanfaatkan penjaja kecil.

Pada Selasa, KPKT terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk SPRM berhubung ketelusan harga MyKiosk.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengheret pihak yang menabur fitnah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!