Selangor arah PBT pantau MyKiosk tidak beroperasi

Beberapa unit MyKiosk didapati tidak beroperasi di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam. Gambar kecil: Suee Lim
Beberapa unit MyKiosk didapati tidak beroperasi di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam. Gambar kecil: Suee Lim
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk memantau unit MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak beroperasi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, PBT perlu memberi tempoh tiga bulan sebelum menarik balik unit tersebut dan menyerahkan kepada individu lain yang lebih layak sekiranya kiosk berkenaan hanya dijadikan tempat penyimpanan barang.

“Saya kena jawab secara jujur, sesetengah orang gunakan kiosk ini sebagai tempat simpan barang, malah ada juga yang sudah ada kedai di tempat lain tetapi minta kiosk tambahan dan akhirnya tidak digunakan untuk berniaga.

“Kalau mereka jadikan tempat simpan barang, saya minta PBT pantau dan beri masa tiga bulan, kena tarik balik seterusnya bagi pada orang lain.

“Selain itu, kiosk yang tidak beroperasi ini mungkin disebabkan tempat yang kurang strategik dan tidak mendapat sambutan, jadi ini tertakluk kepada perancangan PBT untuk menempatkan kiosk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan rasmi di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.

Untuk rekod, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi seperti Taman Tasik Seksyen 7 dan Seksyen 14 di Shah Alam mendapati beberapa unit MyKiosk dipercayai kosong dan tiada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Menurut penduduk setempat, kiosk berkenaan tidak pernah beroperasi sejak hari pertama ia ditempatkan.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, sikap peniaga yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ turut menjadi salah satu faktor MyKiosk yang tidak beroperasi.

“Penguatkuasaan dan pemantauan berkala penting. Kalau kita tahu dia memang tidak boleh berikan komitmen atau tidak berminat, kita pilih atau alih ke tempat lebih baik dan beri kepada orang lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!