Biar riuh, tapi jangan bakar khemah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DALAM sebuah parti yang menjadi nadi perjuangan, musim pemilihan bukan sekadar menukar saf kepimpinan.

Ia adalah cermin yang memantulkan watak sebenar - siapa negarawan, siapa dalang yang bersembunyi dalam bayang. Dan seperti biasa, demokrasi - meskipun bising - tetap menjadi medan yang tidak boleh dielak.

Bising itu datang dalam pelbagai bentuk: kenyataan media yang berselang-seli, poster-poster berwajah yakin dengan slogan klise dan hantaran media sosial yang berlapik sindiran.

Demokrasi memang riuh, tapi jangan bakar khemah sendiri.

Kebisingan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia sememangnya sifat semula jadi demokrasi.

Malah, dalam sejarah yang panjang, setiap titik perubahan besar dalam sesebuah parti politik sering kali bermula dengan bising - dari bantahan, pertembungan idea, hinggalah kepada keputusan yang memihak kepada yang lebih bersedia pada waktu yang sepatutnya, bukan semestinya yang lebih popular.

Dalam kebingitan demokrasi juga tidak bermakna kita boleh jadi arsonist - membakar khemah sendiri semata-mata kerana tidak puas hati dengan tempat duduk.

Jangan bila kalah sedikit, terus menjerit curang, dan bila menang sedikit, terus melaung revolusi.

Artikel Berkaitan:

Ada yang sanggup pecahkan jendela rumah sendiri, kononnya mahu tunjuk betapa buruk binaan - sedang hakikatnya merekalah perosaknya.

Pertembungan bukan malapetaka - ia cerminan hidup dalam parti

Proses pemilihan parti memberi ruang kepada semua untuk bersaing, menyatakan pandangan dan menawarkan gagasan.

Dalam masa sama, tidak ada pertandingan yang benar-benar bersih daripada emosi. Tapi itu tidak bermakna ia harus ditakuti.

Sebaliknya, pertembungan idea dan personaliti - asalkan tidak menggadai prinsip - adalah tanda parti itu masih hidup.

Yang menjadi masalah ialah apabila pertembungan ini dijadikan medan ‘melondeh’, menyerang peribadi dan menyebar kebencian dalam kalangan pengikut.

Calon pemimpin sebegini pandai bermain kata. Mereka kata, mereka bangkit demi parti, demi suara akar umbi.

Tapi pelik, bila kumpulannya tidak mendapat tempat strategik, tiba-tiba parti jadi tak demokratik. Bila tidak diberi laluan, terus buat drama seolah dikhianat takdir.

Perbezaan dalam parti

Kita raikan perbezaan dalam parti sebagai bukti suburnya demokrasi. Namun, setelah semuanya selesai nanti, satu prinsip utama harus ditegakkan: perjuangan tidak boleh dibiarkan hanyut tanpa arah.

Kita tetap bersandarkan kepada seorang pemimpin yang menjadi jeneral dalam perang politik yang semakin kompleks. Dan hanya satu orang layak memainkan peranan itu - presiden.

Ketika parti diuji - kehilangan kubu, diasak musuh, dikhianati dari dalam - hanya pemimpin yang berwibawa - presiden mampu melihat di mana harus kita undur, di mana kita harus bangkit.

Kadangkala, kemenangan besar memerlukan langkah strategik yang pahit - termasuk pengorbanan demi membina semula kekuatan.

Seperti medan perang yang memerlukan satu jeneral, politik juga menuntut ketegasan dalam membuat keputusan.

Presiden parti sebagai pemimpin tertinggi perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka strategi, mengatur langkah dan membawa parti menuju kejayaan.

Anggota dan penyokong wajar terus memberi pandangan, tetapi akhirnya, keputusan dan tanggungjawab besar tetap di atas bahu seorang - presiden.

Demokrasi yang bising hanya memberi makna apabila akhirnya kita memilih untuk bergerak seiring di bawah panji kepimpinan presiden.

Perlu kita akui, selepas habis segala kempen, satu wajah itulah yang akan memimpin. Wajah itulah yang akan menjadi sandaran dan kecaman.

Maka, kemenangan mestilah diterima dengan disiplin, dan kekalahan pula ditelan dengan kebijaksanaan. Kalau setiap pemilihan diakhiri dengan dendam, maka setiap penggal hanya akan diisi dengan sabotaj.

Kerana akhirnya kita bertanding bukan untuk kerusi - tetapi demi harapan rakyat yang menunggu di hujung perjuangan.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!