‘Jika bimbang jawatan Timbalan Presiden PKR kosong, Saifuddin boleh sahaja bertanding’ - Rafizi

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli meminta Nurul Izzah Anwar menghubunginya terlebih dahulu untuk pengesahan lanjut berkaitan kekosongan kerusi sekiranya beliau benar-benar bimbangkan perkara tersebut.
Rafizi berkata, jika Nurul Izzah merujuknya secara terus, mungkin Naib Presiden PKR itu tidak akan bertanding jawatan berkenaan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden PKR, Saifuddin boleh sahaja bertanding.
"Lebih mudah, boleh hubungi saya untuk pengesahan sepertimana beliau sering berhubung pada 2021 dan 2022 untuk memujuk saya kembali aktif ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Nurul Izzah mendakwa surat peletakan jawatan dan kekosongan pejabat Rafizi mendorong beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028.
Menerusi hantarannya di Facebook menjelang pemilihan, Puteri Reformasi itu memaklumkan bahawa beliau berada di India bagi menghadiri satu persidangan dan dalam masa sama menerima khabar bahawa Rafizi mengambil cuti daripada tugas sebagai Menteri Ekonomi serta mengosongkan pejabatnya di Putrajaya.
Beliau memberitahu, pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang disediakan oleh Rafizi.
Kata bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu, perkara tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam PKR, sekali gus menambah keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!