'Ada yang kata bunyi UFO, kita akan siasat' - Ng Suee Lim

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memandang serius aduan orang awam berhubung bunyi kuat dan misteri yang mengganggu ketenteraman penduduk di sekitar Shah Alam sejak beberapa hari lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, siasatan segera sedang diatur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diminta untuk mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.
“Kita tak nafikan memang ada rungutan daripada penduduk yang mendakwa bunyi kuat dan kedengaran dari jarak jauh sekali gus menimbulkan kebimbangan serta gangguan kepada kehidupan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini Jumaat.
Suee Lim menjelaskan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku dan pernah dilaporkan di beberapa lokasi lain sebelum ini termasuk di Perak, bagaimanapun punca sebenar masih tidak diketahui.
"Ada yang kata bunyi letupan termasuk kaitkan dengan UFO atau objek terbang yang tidak dapat dikenal past. Kita sendiri pun tak tahu dari mana datangnya bunyi itu.
"Kita akan minta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) siasat secara mendalam dan kalau perlu, kita minta kerjasama polis," ujarnya.
Tambah beliau, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) turut akan digerakkan bagi menyelaraskan tindakan bersama pasukan penguat kuasa dan rondaan pantas bagi membantu menyiasat lokasi dan sumber bunyi tersebut.
"Kalau kita dapat kenal pasti puncanya, kita akan umumkan kepada orang ramai agar mereka tidak terus dalam kebimbangan.
"Kita tak mahu kejadian ini mencetuskan fobia atau gangguan terhadap kehidupan harian rakyat," tambah beliau.
Suee Lim juga tidak menolak kemungkinan bunyi itu berpunca daripada kawasan sekitar Stadium Shah Alam, namun menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi yang masih perlu disahkan melalui siasatan lanjut.
"Kita tak nak buat andaian rambang, sebaliknya cuba siasat secara sistematik dan profesional dan cuba sedaya upaya untuk selesaikan isu ini secepat mungkin," jelas beliau.
Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, penduduk di sini digemparkan dengan bunyi letupan kuat dan pelik yang kedengaran secara tiba-tiba lewat malam Selasa.
Seorang pemilik akaun Facebook, Amir Ndok memaklumkan, dia terdengar bunyi kuat pada jam 11.31 malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, susulan aduan diterima, pihaknya telah menggerakkan anggota bertugas menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan tempat letak kenderaan sekitar Stadium Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!