Perak agih 436 ekor lembu korban ke setiap DUN sempena Aidiladha

IPOH - Kerajaan Perak meneruskan tradisi tahunan sempena sambutan Aidiladha tahun ini dengan mengagihkan sebanyak 436 ekor lembu korban ke semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu merupakan hasil usaha bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Antara GLC yang terlibat ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).
“Setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban termasuk kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.
"Agihan lembu korban turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan serta NGO (badan bukan kerajaan) terpilih di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Saarani berkata, lafaz akad korban akan disempurnakan oleh ADUN beragama Islam atau wakil mereka di kawasan masing-masing seperti dilaksanakan sebelum ini.
Menurutnya, bagi kawasan DUN yang diwakili ADUN bukan Islam, tugas itu akan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Jelas Saarani, garis panduan pelaksanaan korban akan diedarkan kepada semua pihak terlibat bagi memastikan ibadah ini selari dengan kehendak syarak, terutama berkaitan aspek wakalah atau kontrak antara pihak terlibat.
Katanya, ibadah korban itu juga akan berpandukan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!