Salah terbaik, Gravenberch bintang muda EPL

Mohamed Salah (kiri), Gravenberch Foto: Agensi
Mohamed Salah (kiri), Gravenberch Foto: Agensi
A
A
A

BINTANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah, sekali lagi mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mempamerkan kempen cemerlang yang turut membantu kelab Anfield itu menjuarai liga buat kali kedua.

Pemain Mesir berusia 32 tahun itu menunjukkan ketajaman luar biasa di hadapan gawang dengan menjaringkan 28 gol serta mencipta 18 bantuan gol (assist), menjadikan jumlah penglibatannya dalam jaringan mencecah 46 – satu rekod baharu bagi musim liga 38 perlawanan.

Sebagai rekod, Liverpool di bawah kendalian Arne Slot memenangi gelaran EPL dengan baki empat perlawanan.

Kejayaan musim ini menyaksikan Salah menyertai kelompok elit pemain yang pernah dua kali memenangi anugerah Pemain Terbaik EPL, menyertai nama-nama besar seperti Thierry Henry, Cristiano Ronaldo, Nemanja Vidic dan Kevin De Bruyne. Salah pertama kali memenangi anugerah ini pada musim 2017–2018.

Dengan kelebihan lima gol berbanding pencabar terdekat, Alexander Isak dari Newcastle United, Salah berpeluang menambah koleksi Kasut Emas menjelang aksi terakhir musim ini menentang Crystal Palace di Anfield, Ahad ini.

Sekiranya beliau mencatat sekurang-kurangnya dua lagi penglibatan gol, Salah akan memecahkan rekod 47 penglibatan jaringan dalam satu musim yang dikongsi Alan Shearer dan Andrew Cole dalam kempen 42 perlawanan sebelum ini.

Salah turut mendahului carta bantuan jaringan dengan kelebihan enam assist berbanding mana-mana pemain lain, meletakkannya di ambang mencipta sejarah sebagai pemain pertama yang memenangi tiga anugerah utama EPL dalam satu musim – Pemain Terbaik, Kasut Emas dan Bantuan Terbanyak.

Kecemerlangan Salah turut diiktiraf apabila beliau menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) buat kali ketiga awal bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan sepasukannya, Ryan Gravenberch, turut diberi pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain tengah berusia 23 tahun dari Belanda itu memainkan peranan penting dalam perancangan taktikal Arne Slot, bertindak sebagai perisai pertahanan dan pencetus serangan dari kawasan tengah.

Dalam 36 penampilan liga, Gravenberch mencatat jumlah pintasan tertinggi dalam kalangan pemain tengah musim ini (59 pintasan), menjadikannya aset utama di jantung pasukan.

Kebolehannya memutuskan lorongan bola lawan dan melancarkan serangan balas dengan pantas menyerlahkan keupayaannya sebagai pemain versatil.

Beliau turut tersenarai dalam pencalonan Pemain Terbaik EPL bersama kapten pasukan, Virgil van Dijk – dua lagi tonggak utama skuad yang paling banyak beraksi bersama Salah musim ini.

Anugerah ini menjadikan Gravenberch sebagai pemain kedua Liverpool yang memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik sejak ia diperkenalkan pada musim 2019–2020, selepas Trent Alexander-Arnold.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!