Arab Saudi syor ‘lockdown’ enam jam di Arafah dan Mina elak strok haba

MAKKAH – Jemaah haji diingatkan agar tidak keluar dari khemah masing-masing terutamanya antara jam 10 pagi hingga 4 petang semasa berada di Arafah dan Mina bagi mengelakkan risiko strok haba yang boleh mengancam nyawa.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, langkah itu selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan ‘lockdown’ pada waktu tersebut.
Menurutnya, suhu dijangka melonjak melebihi 50 darjah Celsius ketika hari wukuf dan juga semasa berada di Mina seperti berlaku pada musim haji tahun lalu.
“Kita telah mendapat arahan daripada kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah supaya bekerjasama dengan mereka bagi memastikan jemaah haji tidak berada di luar khemah pada waktu tengah hari bagi mengelakkan berlakunya serangan strok haba.
“Ini adalah kerana dijangkakan cuaca akan menjadi lebih panas seperti tahun lepas. Jadi jemaah haji disarankan supaya sentiasa berada di dalam khemah pada waktu tersebut,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Petugas Haji Bersama Ketua Rombongan Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.
Beliau berkata, arahan tersebut disampaikan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi ketua-ketua rombongan haji seluruh negara dan hasil pertemuan bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Hassan Bin Yahya Al-Manakhrah.
Mohd Hisham berkata, skrin besar akan disediakan untuk jemaah haji mendengar lintas langsung Khutbah Arafah.
“Justeru katanya, jemaah tidak digalakkan ke Masjid al Namirah untuk mendengar Khutbah Arafah. Mereka boleh tonton menerusi skrin besar di kawasan khemah.
“Dengan cuaca yang semakin panas, menjadi harapan kerajaan Arab Saudi supaya kesihatan dan keselamatan semua jemaah di seluruh dunia dapat dijaga dengan sebaiknya dan tidak terdedah kepada masalah kesihatan terutamanya strok haba,” katanya.
Beliau sebelum itu berkata, setakat ini semua kemudahan frasarana dan infrastruktur untuk jemaah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina telah dapat disediakan lebih awal.
Katanya, bagi jemaah yang tidak sihat, Lembaga Tabung Haji (TH) akan memastikan mereka tetap digerakkan untuk berwukuf di Arafah.
“Dengan adanya safari wukuf mereka akan digerakkan ke Arafah meskipun menggunakan pengusung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!