‘Pastikan sentiasa pakai gelang tangan’

MAKKAH – “Pakai gelang tangan pengenalan diri sepanjang masa.”
Itu pesanan penting Pengurus Khidmat Pelanggan Abraj Al Janadriyah, Zaini Rashid kepada semua jemaah haji Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurutnya, satu kejadian membabitkan seorang jemaah warga emas berusia 83 tahun menjadi bukti betapa pentingnya pemakaian gelang tangan pengenalan tersebut.
“Kejadian berlaku apabila warga emas itu terpisah daripada ahli keluarganya. Ketika itu dia hanya sehelai sepinggang kerana semua barang dibawa ahli keluarganya.
“Mujurlah dia memakai gelang tangan. Seorang warga tempatan yang menjumpainya terus menghubungi nombor tertera pada gelang tersebut dan berhubung dengan kami,” katanya.
Katanya, wanita itu sebenarnya berada di Madinah dan bukannya di Makkah.
“Jadi kami segera maklumkan kepada petugas di Madinah dan dalam tempoh kurang 40 minit, segalanya dapat diselesaikan. Bayangkan kalau dia tak pakai gelang tangan, mungkin ambil masa berjam-jam atau lebih lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Abraj Al Janadriyah di sini.
Dalam satu lagi kes di Madinah, ujarnya, seorang jemaah wanita berusia 53 tahun dilaporkan pengsan menyebabkan rakan-rakan jemaahnya panik dan menghubungi petugas.
“Alhamdulillah, kes itu juga dapat diselesaikan dengan cepat kerana adanya maklumat pada gelang tangan. Itulah pentingnya semua jemaah memakai gelang tangan sepanjang masa,” katanya.
Terdahulu, Zaini berkata, Unit Perkhidmatan Pelanggan turut menyediakan perkhidmatan pinjaman kerusi roda secara percuma kepada jemaah yang memerlukan.
“Prosedurnya mudah, hanya datang, isi borang dan boleh pinjam kerusi roda. Selepas selesai guna, perlu pulangkan semula.
“Kita beri keutamaan kepada jemaah yang berurusan dengan pasukan perubatan dan klinik Tabung Haji. Setakat ini, kita ada tujuh unit kerusi roda untuk pinjaman di pusat khidmat pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, antara aduan tertinggi yang diterima petugas di unit berkenaan adalah berkaitan pengaktifan kad debit untuk pengeluaran wang tunai di luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!