Suspek tetak kekasih bekas isteri miliki rekod jenayah lampau

SUBANG JAYA - Salah seorang suspek terlibat menetak kepala individu dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan di sini, pada Sabtu dipercayai memiliki rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat ini usaha mengesan suspek yang merupakan bekas suami kepada kekasih mangsa sedang giat dijalankan.
"Polis telah merekod keterangan tiga individu termasuk teman wanita mangsa untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.
"Siasatan mendapati salah seorang suspek yang terlibat dalam kejadian ini mempunyai rekod kes jenayah lampau dan usaha memburu suspek sedang dijalankan," katanya pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang lelaki cedera parah selepas ditetak di kepala oleh bekas suami teman wanitanya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan di sini.
Mangsa berusia 47 tahun dipercayai diserang oleh tiga lelaki, termasuk bekas suami wanita terbabit dipercayai akibat cemburu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!