Qi Razali tamat zaman bujang di usia 48 tahun, jurusolek jadi pilihan

PELAKON dan pengacara, Qi Razali kini sah bergelar suami kepada pilihan hatinya yang dikenali sebagai Wardah.
Berita gembira itu dikongsikan oleh personaliti televisyen terkenal, Fedtri Yahya menerusi satu hantaran di aplikasi X di mana dia memuat naik beberapa foto sekitar majlis pernikahan pasangan tersebut.
Kongsi Fedtri, hari bahagia itu lebih bermakna apabila pengantin perempuan merias dirinya sendiri.
"Alhamdulillah. Dapat mengacarakan majlis pernikahan Qi Razali dan Wardah. Tahniah Babah!
"Kedua-duanya anak bongsu. Pengantin perempuan seorang jurusolek, jadi dia yang menyolek dirinya sendiri," titipnya.
Menerusi perkongsian tersebut, Qi kelihatan segak dan tenang mengenakan busana pengantin serba putih ketika majlis akad nikah berlangsung.
Majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup di sebuah lokasi yang berlatar belakangkan suasana kampung serta mencetuskan suasana tenang dan indah buat pasangan tersebut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan mengucapkan tahniah kepada pemain drum kumpulan OAG itu atas berita perkahwinannya.
Bekas pemain drum kumpulan OAG dan pengacara televisyen bagaimanapun enggan berkongsi lanjut mengenai tunangnya dan sekadar memaklumkan wanita itu adalah seseorang yang bertugas di belakang tabir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!