KDN FC nafi gagal penuhi kriteria Lesen Kebangsaan

KELAB Kelantan Darul Naim (KDN) FC menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kelab dari Pantai Timur itu gagal memenuhi kriteria bagi memperoleh Lesen Kebangsaan susulan isu tunggakan gaji pemain bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad menjelaskan bahawa pihak kelab sedang giat menyelesaikan tunggakan gaji bagi tempoh Februari hingga April 2025.
Malah, menurut beliau, bayaran gaji bagi tempoh Mei hingga Disember 2024 telah pun diselesaikan sepenuhnya.
“Kelab ini telah mematuhi semua syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Badan Rayuan Pertama (First Instance Body, FIB) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL), termasuk keperluan menyelesaikan tunggakan gaji sehingga 31 Disember 2024 seperti yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya.
Rozi turut menegaskan bahawa KDN FC telah memperoleh Lesen Kebangsaan 2025/26 dengan syarat sekatan. Justeru, dakwaan kononnya kelab tidak layak akibat tunggakan adalah tidak berasas.
“Berhubung isu yang tular dan dakwaan kononnya kelab ini tidak layak mendapatkan lesen kerana masih mempunyai tunggakan, saya ingin menegaskan bahawa ia tidak benar sama sekali.
“KDN FC telah memenuhi segala syarat perlesenan yang diperlukan. Kini, tunggakan hanya melibatkan tempoh tiga bulan iaitu dari Februari hingga April 2025, dan kami tetap komited untuk menyelesaikannya dalam masa terdekat,” katanya.
Rozi turut memaklumkan bahawa tunggakan tersebut tidak membabitkan semua pemain secara keseluruhan, sebaliknya terdapat pemain yang hanya mempunyai tunggakan satu atau dua bulan sahaja.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pengurusan KDN FC sedang melaksanakan pembayaran secara berperingkat, termasuk bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Kami telah mencapai persetujuan dengan KWSP untuk melunaskan tunggakan sedia ada dan pembayaran berperingkat telah pun dimulakan sejak pertengahan April lalu,” katanya.
Untuk rekod, KDN FC menamatkan saingan Liga Super 2024/25 di kedudukan ke-13 daripada 13 pasukan, dengan kutipan tujuh mata hasil daripada dua kemenangan, satu seri dan 21 kekalahan dalam 24 perlawanan.
Rozi turut meminta pemain-pemain Kijang Emas memahami situasi semasa dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan di media sosial yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Saya berharap pemain-pemain merujuk terus kepada pengurusan kelab terlebih dahulu. Kami sedang berusaha menyelesaikan isu ini secara berperingkat dan memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!